Kesinambungan dari kisah
tido asing, saya nak share sikit antara tips berguna untuk berpisah bilik pulak... tips ini saya dan suami akan praktikan apabila tiba masanya... (bila Danial dah besar sikit.)
18 Tip Yang Boleh Dijadikan Panduan :
1. Sediakan bilik yang selesa untuk si manja anda. Ini tidak bermakna
anda perlu hias biliknya dengan perabot mewah dan sebagainya. Sebaliknya
memadai jika bilik tersebut bersih dan kemas. Sebagai permulaan, anda
boleh mulakannya dengan hanya meletak tilam dilengkapi cadar yang motif
dan warnanya sesuai dengan budak-budak.
2. Berikan masa kepada anak untuk membuat persediaan mental dan emosi.
Terangkan kepadanya bahawa dia sudah besar dan perlu belajar tidur
sendiri. Pastikan tidak ada sesiapa yang cuba takut-takutkan dia apabila
tidur sendiri nanti. Katakan pada dia budak yang berani adalah budak
yang bijak.
3. Persediaan mental dan emosi. Sama seperti orang dewasa, kanak-kanak
juga mengambil sedikit masa untuk membiasakan diri dengan sesuatu yang
baru. Jadi, sebaik-baiknya beritahu pada anak-anak anda bahawa mereka
perlu tidur sendirian lebih awal dari jangka masa yang anda sasarkan.
Ini memberi mereka ruang untuk membuat persediaan mental. Bagi
membuatkan mereka lebih faham kenapa perlu berbuat demikian, berikan
alasan-alasan yang kukuh misalnya apabila punya bilik sendiri, mereka
ada ruang sendiri untuk bermain dan membaca.
4. Anda boleh melatih si kecil untuk tidur di biliknya pada siang hari.
Temankan dia terlebih dulu dan bacakan buku cerita yang memberi manfaat
kepada si kecil. Lakukan sekerap mungkin dan cara ini pasti dapat
membantu membiasakan anak anda.
5. Ajak si kecil anda menghias bilik tidurnya. Pasti dia teruja apabila
benda yang disukainya menghiasi ruang privasinya. Sebagai contoh, jika
si hero sukakan kereta, terapkan elemen permotoran dalam bilik tidurnya.
Begitulah sebaliknya.
6. Pastikan ada ruang bermain dalam bilik anak-anak dan pastikan hiasan
bilik tidak terlalu sarat. Elakkan meletak barang-barang kaca yang
mudah pecah. Ia berbahaya.
7. Bagi anda yang mempunyai lebih daripada seorang anak dan sama
jantina, katil dua tingkat mungkin pilihan yang tepat untuk jangka masa
panjang, terutama bagi kediaman yang mempunyai bilik yang terhad.
Pastikan katil yang dipilih itu mempunyai pengadang yang tinggi
(bahagian atas) bagi memastikan keselamatan anak.
8. Andai katil bayinya dahulu boleh diubahsuai menjadi katil
kanak-kanak, ini menandakan anda berhadapan dengan satu proses yang agak
mudah. Anda boleh menunjukkan kepada si manja bahawa dirinya tidak
‘diusir’ daripada tempatnya yang lama.
9. Sejurus si manja anda berpindah ke biliknya sendiri, kekalkan rutin
tidurnya dan biasakan si manja buang air kecil dahulu sebelum tidur.
Anda tidak perlu mengubah waktu tidurnya kerana ia boleh menimbulkan
kekeliruan kepada si manja nanti. Masalah lain yang mungkin timbul, anak
anda mungkin boleh berasa terlalu ‘bersemangat’ sehingga dia sukar
tidur.
10. Anda boleh melayani kerenah si manja yang pada awalnya mungkin akan
terus bermain, keluar masuk bilik meminta segelas air, meminta anda
membacakan buku untuknya, berulang alik ke tandas, minta ditemani.
Tetapi, pastikan ada batas waktu yang ditetapkan. Apabila waktu yang
dihadkan sudah tamat, anda perlu bertegas dengan keputusan anda.
11. Cuba selidiki kenapa si manja anda suka tidur dengan anda? Mungkin
si manja takut dengan kegelapan? Atau wujudnya rasa cemburu dalam diri
mereka apabila si adik masih boleh lagi tidur dengan anda sedangkan dia
tidak? Berkemungkinan persoalan inilah yang akan membantu anda mencari
jalan penyelesaiannya.
12. Berikan mereka benda yang boleh membuatkan si manja rasa selamat
dengannya. Contohnya sebuah patung besar yang boleh membuatkan si manja
rasa ‘berteman’ apabila tidur.
13. Sediakan pencahayaan yang bersesuaian untuk si manja. Kebanyakan
kanak-kanak memang takut dengan kegelapan. Jadi belilah lampu-lampu
‘fancy’ khusus untuk si manja.
14. Latih anak-anak untuk mengemas bilik mereka sendiri. Walaupun
lipatan selimut mereka tidak begitu kemas, biarkan dan beri mereka
peluang untuk memperbaikinya.
15. Bersabar adalah kunci paling utama. Memang tidak mudah untuk
mengajar si manja tidur sendirian di biliknya. Dan ia mungkin tidak akan
berhasil hanya dengan satu malam. Cara yang paling baik, selidiki apa
yang menyebabkan si manja anda tidak suka tidur sendirian. Dan cuba cari
jalan penyelesaiannya sebaik mungkin.
16. Amalkan membaca doa sebelum tidur dan Surah 3 Qul. Latih anak-anak
untuk turut membaca doa ini setiap kali sebelum masuk tidur. Insya-Allah
doa ini akan meningkatkan keyakinan kita sendiri serta anak-anak bahawa
Allah akan sentiasa melindungi mereka.
17. Jadi, pada peringkat awal peralihan ini ibu bapa memerlukan tahap
kesabaran ekstra. Pimpin si manja ke bilik semula setiap kali dia keluar
dari bilik tidurnya.
18. Dan yang terakhir, anda boleh menerapkan sistem ‘reward.’ Seperti
beli ‘sticker’ atau pelekat bergambar dan lekatkan di papan khusus untuk
menunjukkan berapa kali si manja tidur tepat pada waktunya dalam satu
minggu. Pada minggu akhir, berikan ia sesuatu yang istimewa seperti
membacakannya cerita lebih lama atau memasakkan si manja anda makanan
kegemarannya